REUNION

  

KUMPULAN SPOON DIPENTAS AKHIR GEGAR VAGANZA 2015

       Setelah hampir 15 tahun kumpulan Spoon yang pernah popular dengan lagunya 'Rindu Serindu Rindunya' menyepikan diri dari industri muzik tanah air, akhirnya tiba-tiba muncul membuat persembahan secara live di pentas akhir Gegar Vaganza pada tahun 2015 yang lalu. Kemunculan ini menimbulkan pelbagai persoalan, komen, kritikan dari pelbagai pihak. Apakah sebenarnya yang berlaku?

REUNION
Pada awal 2014, Norul (Gitaris) akhirnya berjaya mengumpulkan kesemua anggota asal kumpulan spoon dan mencadangkan untuk kembali (Reunion) memeriahkan industri muzik tanah air. Setelah beberapa kali mesyuarat dijalankan bagi mengenalpasti hala tuju dan sasaran. Akhirnya mereka bersetuju kecuali Yahya (Basist) yang menarik diri kerana kekangan masa bersama keluarga dan jadual harian. Tempat 'Yahya' telah digantikan oleh 'Bob' iaitu pemain bass asal kumpulan ini sebelum mereka menjadi artis rakaman. 

Memandangkan ada diantara anggota kumpulan yang memang lansung meninggalkan terus instrumen yang dimainkan hampir 14tahun, maka mereka bermula dengan latihan yang biasa-biasa (warm-up), dan sekadar mengimbas kembali lagu yang pernah di mainkan namun bukanlah secara serius. Waktu latihan pun bukan lah satu waktu yang ditetapkan khas kerana komitmen masing-masing disiang hari. 

Oleh kerana Norul orang yang berusaha untuk menyatukan semua semula maka Norul memegang teraju kumpulan atas persetujuan semua, dan bermula kumpulan spoon dengan mengumpulkan meterial-meterial lagu yang terbaik untuk dirakamkan. Oja Axis adalah teman yang dipertanggung jawabkan untuk menguruskan hal-hal penyusunan muzik dan rakaman. Lagu terawal yang telah disusun semula muziknya ialah lagu Rindu Serindu Rindunya dan lagu Sepenuh Hati.

GEGAR VAGANZA
Tiba-tiba suatu pagi Norul mengumumkan persetujuannya untuk membuat persembahan di pentas akhir Gegar Vaganza 2015, beliau telah dihubungi oleh pihak pengurusan 'GV' ketika itu. Tarikh dan waktu untuk hari persembahan itu hanya ada sebulan dari hari Norul mengumumkannya. 

Semuanya rasa 50 - 50 untuk tampil ke pentas. Ini bukanlah satu tanggungjawab yang boleh dianggap remeh, apatah lagi sudah terlalu lama masing-masing tidak beraksi di pentas. Kali terakhir mereka berada di pentas bersama-sama adalah sewaktu membuat persembahan Di sebuah Auditorium terkenal di Singapura pada tahun 2001 sebelum membawa haluan masing-masing. 

Oleh kerana keputusan telah dibuat, maka latihan secara intensif pun bermula dengan vokalisnya Azlong (adik arwah Along Spoon). Az juga belasan tahun tidak menyanyi dan ini satu cabaran yang memang diluar dugaan. Hampir setiap hari latihan dijalankan, dan Oja Axis orang yang sering memberi tunjuk ajar dan panduan semula kepada Az dalam persiapan diri.

DI PENTAS
Setibanya hari yang mendebarkan itu, anggota spoon tiba awal untuk sessi sound check. Pada awalnya kesemuanya kekok ketika berada disana. Ada yang masih mengenali dan ada juga yang lansung tidak kenal... Yerlah..., Album pertama berada di pasaran sewaktu rata-rata mereka berumur 19 tahun. Kini untuk menjejakkan kaki ke pentas itu masing-masing sudah berumur 36 Tahun. Jauh detik berlalu.... 

     Sessi 'sound check' untuk Spoon lebih kurang pukul 2ptg. Namun diatas beberapa masalah teknikal, Spoon dipanggil naik ke pentas untuk 'sound check' pada pukul 4ptg, mujurlah Spoon membawa 2 orang 'gitar tech' nya sendiri. Jadi penyediaan diatas pentas agak 'smooth'. 

Semua artis yang membuat 'sound check' tidak terlepas dari di pantau dan di tapis oleh Dato' Ramli M.S., baik dari segi kualiti muzik, bunyi, arrangement muzik, kualiti vokal, kesesuaian key lagu, gaya persembahan dan lain-lain. Ini termasuk juga Spoon yang seolah-olah lebih lagi diberi perhatian kerana Dato' sendiri tahu kesemuanya sudah lama tidak beraksi.  

UJIAN
      Selepas 2 lagu dimainkan untuk 'sound check', Norul dipanggil oleh Dato'. Semua keadaan menjadi tegang dan sunyi dengan persoalan 'Apakah yang dikatakan Dato' kepada Norul???'.

Keputusan Dato'.... Syukur... 'Band Members' tiada masalah... (masing-masing menarik nafas lega) cuma persoalan Dato' sekarang ialah Az boleh menyanyi atau tidak sebenarnya? Satu persoalan yang memang sudah diduga sebilangan anggota Spoon kerana seminggu sebelum hari persembahan Az telah dikejarkan ke Hospital akibat serangan 'asma' dan ketika 'sound check' tadi jelas tidak dapat mencapai piawaian yang Dato' gariskan.

PERGOLAKAN

Dato' Ramli M.S memberi 3 pilihan kepada Spoon. 
  1. Tukar Vocal (Penyanyi) Immedietly.
  2. Miming sahaja waktu Real Show malam nanti, atau
  3. Balik!... 
     Ketika inilah pergolakan berlaku diantara anggota Spoon sendiri. Dato' mahukan keputusan segera! masa tidak mencukupi! Jam hampir pukul 6 ptg, banyak lagi persediaan lain yang sedang berjalan di pentas. 

Sebahagian anggota kumpulan merasakan 'balik' adalah keputusan yang terbaik dari sudut pandang sifat setia kawan... Keputusan Norul adalah 'Tukar Vokal!'... demi peminat-peminat yang memang sudah tahu Spoon akan beraksi dan berita-berita yang sudah diiklankan sebelumnya..., latihan yang intensif sudah diambil, dan kini pengorbanan terpaksa dibuat. 

Untuk menggantikan, setentunya tiada pilihan lain yang paling dekat melainkan OJA AXIS yang memang sentiasa berada bersama dari awal. Ini memang satu keputusan yang saaaaaaaaangat berat untuk dibuat. Bedasarkan pertimbangan dari pelbagai sudut, Norul terpaksa juga membuat keputusan dan mendapatkan kata sepakat dari semua anggota Spoon. 

Perbincangan secara empat mata bersama Az terus dibuat untuk memahamkan keadaan dan menenangkan Az... sudah tentulah... sedikit sebanyak..., pasti terasa dihati.... tapi inilah hakikatnya yang terpaksa semua anggota telan. Oja Axis dari awalnya memang menolak sekiranya menginginkan beliau sebagai pengganti, semua anggota spoon tahu yang beliau sendiri pun dalam keadaan selsema dan demam. Setelah berbincang dengan Az, dan memujuk rayu khidmat Oja Axis. Syukur... Oja cuba juga walaupun kesihatannya memang tidak mengizinkan... Tapi masih belum lagi melegakan keadaan....

Dato' Ramli M.S mahukan keputusan segera kerana sekiranya keputusan Spoon adalah 'tukar vokal', Dato' Ramli M.S. mahukan pengganti itu di Audition terlebih dahulu oleh beliau sendiri.

KEPUTUSAN
     Setelah memberitahu keputusan yang dibuat, Oja di arah ke tengah pentas untuk menyanyi di iringi Band Pengiring Gegar Vaganza. 2 ke 3 kali juga Oja diminta untuk menyanyi dan diuji berdasarkan "Key" yang berbeza-beza. 

Alhamdulillah, segalanya lancar... Oja diterima untuk menggantikan dan menyanyikan lagu Rindu Serindu Rindunya. Walau bagaimanapun, sedikit sebanyak... penumpuan dan emosi dikalangan anggota spoon memang agak terganggu. Namun syukur kerana masing-masing bertindak profesional mengawal seolah-olah tiada apa yang berlaku dan fokus pada tugasan masing-masing.

Inilah sebabnya kenapa Oja Axis yang menyanyikan lagu Rindu Serindu Rindunya pada malam Gegar Vaganza 2015. Satu sejarah yang terkait tanpa sedar sebenarnya... Wallahualam... 


#Related Story
#Oja Axis








-back- 
Apa kata anda?...Sebarang pendapat atau pandangan dari sudut KACA MATA ANDA amat-amat di HARGAI....
Kongsikan bersama kami di ruang 'Post a Comment' dibawah

- Terima Kasih -

Comments